Malaysia Ke Arah Cat Bebas Plumbum Menjelang 2020
Khir Khalid Tuesday, 21 November 2017
Image Courtesy: www.khirkhalid.com
Persatuan Pembuat Cat Malaysia (MPMA) telah menerajui tandatangan perjanjian jaminan bersama 17 syarikat pengeluar cat pada 21 November 2017. Ia diadakan sempena MPMA Green Forum: Towards Lead-Free Paints - The Malaysian Context di Subang Jaya, bertujuan menghentikan penggunaan bahan berasaskan plumbum dalam pembuatan cat menjelang 2020.
Forum telah dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Dato’ Henry Sum Agong. Inisiatif perjanjian yang diadakan selaras dengan usaha Global Alliance to Eliminate Lead Paint (GAELP) ke arah pelaksanaan pengeluaran cat tanpa plumbum.
MPMA Green Forum: Towards Lead-Free Paints
Plumbum adalah bahan toksik kumulasi yang memberi kesan sampingan terhadap sistem tubuh. Namun ia juga menjadi bahan dalam cat yang digunakan pada dalam dan luar bangunan, alat permainan, perabot, peralatan taman permainan dan pelbagai lagi sejak sekian lama.
Berdasarkan aspek kesihatan, plumbum memudaratkan bahagian otak dan sistem saraf, fungsi buah pinggang, darah dan fungsi reproduksi. Kanak-kanak bawah 6 tahun dan wanita hamil antara kumpulan yang mudah terdedah kepada kesan sampingan ini.
Sehingga kini, 59 negara telah mewujudkan sekatan undang-undang penggunaan plumbum dalam cat, manakala 65 lagi belum mempunyai sekatan undang-undang. Namun 18 daripada 65 negara tersebut telah mengambil langkah yang perlu untuk mewujudkan undang-undang. Sejumlah 71 negara lagi masih kurang kefahaman dan maklumat tentang kepentingan cat bebas plumbum.
Undang-undang Malaysia pada masa kini membenarkan maksimum 90 ppm dalam kandungan plumbum pada cat alat permainan kanak-kanak bawah 14 tahun. Hanya Filipina merupakan negara pertama yang berjaya melaksanakan undang-undang cat bebas plumbum di Asia Tenggara.
Sesi perbincangan pakar, Malaysia’s Roadmap Towards Lead-Free Paint: Should it be Regulated? turut menekankan kepentingan, cabaran dan implikasi yang dihadapi negara-negara yang sedang berusaha mewujudkan peraturan berkesan demi faedah pengusaha industri dan pengguna.
Forum yang disertai lebih 100 individu dari pihak industri, persatuan pengguna dan kerajaan ini turut menyenaraikan syarikat yang telah memberi komitmen menerajui pengeluaran cat tanpa plumbum menjelang 2020 iaitu:
- Akzo Nobel Paints (Malaysia) Sdn Bhd
- Becker Industrial Coatings (M) Sdn Bhd
- Boustead Sissons Paints Sdn Bhd
- Chugoku Paints (M) Sdn Bhd
- Dolphin Paint (MFG) Sdn Bhd
- Federal Paints Manufacturing (M) Sdn Bhd
- Jotun Paints (Malaysia) Sdn Bhd
- Kansai Paint Asia Pacific Sdn Bhd
- Kansai PLC Sdn Bhd
- KCC Paints Sdn Bhd
- Kossan Paint (M) Sdn Bhd
- MCI Paint Sdn Bhd
- Nippon Paint (M) Sdn Bhd
- Sancora Paints Industries
- Seamaster Paint (Malaysia) Sdn Bhd
- Sime Kansai Paint Sdn Bhd
- Suzukacoat (M) Sdn Bhd
MPMA memainkan peranan utama meningkatkan kesedaran tentang impak negatif plumbum dalam cat. Justeru, pemegang kepentingan yang berminat menyertai perjanjian ini atau menjadi ahli persatuan, sila layari laman web MPMA di www.mypma.org.my.
Article abstract from: www.KhirKhalid.com